Friday, October 26, 2012

Maksud Sebenar Hari Raya Aidilfitri


Tinggal hanya beberapa hari saja lagi Ramadhan akan berlalu dan digantikan pula dengan bulan Syawal sebagai bulan kemenangan menahan dugaan dan cubaan sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan. Kebiasaannya masyarakat kita menyambut Hari Raya Aidilfitri atau biasa disebut Hari Raya Puasa selama 2 atau 3 hari. Masuk hari keempat biasanya kehangatan Raya Puasa dah semakin berkurangan dan dimeriahkan pula dengan majlis-majlis kenduri perkahwinan. Namun ada juga masyarakat yang menyambut Hari Raya Puasa selama sebulan lama, iaitu sepanjang bulan Syawal.

Sejarah Hari Raya Aidilfitri

Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati terdapat dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka dengan segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.
Lalu Rasulullah s.a.w. menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.

Raya Adalah Ibadah

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadah. Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadah puasa Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Aidilfitri Adalah Fitrah

Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.
Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

0 comments: